Wednesday, March 7, 2007

Kena Makan Telinga

GEORGETOWN: Jurujual kereta yang kehilangan sebahagian telinga kanannya akibat digigit dan dimakan seorang lelaki kurang siuman Isnin lalu sudah memberi keterangan kepada polis.

Mangsa, Amir Hamzah, 36, berkata, polis mengambil keterangan kira-kira jam 11 pagi semalam dan dia menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, dia juga sudah menjalani pembedahan pertama pada malam kejadian untuk menampal telinganya yang hilang dengan menggunakan daging paha kanan selain turut menerima rawatan ubat antibiotik.

Amir dibenarkan keluar dari hospital tengah hari semalam dan mendapat cuti sakit untuk berehat sementara menghadiri temujanji dengan doktor di hospital berkenaan, Sabtu ini.

“Pertemuan itu untuk membuat pemeriksaan lanjut bahagian telinga saya dan bakal menjalani pembedahan kali kedua dalam tempoh terdekat ini namun ia bergantung kepada hasil pemeriksaan doktor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Amir yang sedang minum berseorangan di sebuah kedai kopi berhampiran rumahnya, ditegur dan dimarahi secara tiba-tiba oleh seorang lelaki.

Lelaki terbabit kemudian menyerangnya serta menggigit telinga kanannya sehingga sebahagian cuping telinganya putus dan dimakan lelaki terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Gan Kong Meng, berkata pihaknya sudah mengarahkan seorang pegawai polis mengambil keterangan daripada mangsa.

Gan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu.


Mamakcyber: Takut ada yang kena makan telinga nanti bila memanda Temenggung kena panggil siasat

No comments: